Rasulullah S.A.W telah mengaturkan strategi dan pelbagai ikhtiar dengan menggunakan jalan rahsia dan bersembunyi di Gua Thur, namun dapat dijejak oleh kaum kafir Quraish sampai ke Gua Thur kerana mereka mempunyai ilmu mengesan tapak kaki sehingga jejak tapak kaki terhenti di hadapan Gua Thur. Dengan keadaan Gua Thur yang kecil jika tunduk sahaja pun sudah nampak orang ada atau tiada di dalamnya, dengan ikhtiar apa lagi harus dibuat selain Tawakkal kepada Allah, begitulah cara Rasulullah yang patut kita ikuti setelah pelbagai usaha telah dilakukan barulah kita Bertawakkal kepada Allah.
Nabi Muhammad S.A.W Dilindungi Merpati Dan Labah-Labah Di Gua Thur?
Oleh : Drs. Abdul Ghani Azmi Idris
Majalah Pengasuh Terbitan Majlis Agama Islam Kelantan. Bil.
558.
Rasulullah s.a.w. ke Madinah merupakan satu peristiwa yang
paling agung dan bersejarah dalam Islam kerana ia merupakan titik tolak bagi
kebangkitan dan perkembangan Islam ke seluruh pelusuk dunia. Dari Madinah umat
Islam yang dipinpim oleh Nabi s.a.w. mengumpulkan kekuatan untuk menghancurkan
musuh-musuh dan penentang-penentangnya di dalam dan di luar semenanjung tanah
Arab. Sehingga Islam pada zaman itu menjadi satu kedaulatan dan kekuatan yang
tiada tolok bandingnya.
Peristiwa Hijrah Rasulullah s.a.w. dari Mekah ke Madinah itu
diabadikan orang dalam sirah Rasulullah s.a.w. yang diperingati, dibaca,
dipidatokan dan dihayatidari dahulu sampai sekarang. Akan tetapi kerana
terpesona dengan peristiwa hijrah itu orang sampai terlupa kepada satu hakikat yang
bukan hakikat, iaitulah satu KHURAFAT yang tersembunyi disebaliknya. Iaitulah
perkara yang berlaku ke atas junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w. sewaktu
bersembunyi di dalam gua Thur dan diburu oleh pemuda-pemuda Quraisy yang hendak
membunuhnya. Para ahli sejarah selama ini mencatatkan bahawa semasa di dalam
gua Thur itu Rasulullah s.a.w. dilindungi oleh BURUNG MERPATI dan LABAH-LABAH
yang membuat sarang di pintu gua sehingga meyakinkan pemuda-pemuda Quraisy itu
bahawa tiada sesiapa yang berada di dalam gua itu. Sehingga terselamatlah
Rasulullah sa.w. dan sahabatnya Abu Bakar dari buruan pemuda-pemuda tersebut.
Demikianlah apa yang tertulis dalam sejarah dan telah menjadi keyakinan umum di
seluruh dunia Islam, sehinggalah sarang Labah-Labah itu dijadikan lambang bagi
peristiwa Hijrah itu.
Sebenarnya kepercayaan tersebut tidaklah benar dan catatan
sejarah itu menyimpang dari hakikat sebenarnya. Walaupun ada hadith-hadith yang
menyokong kepercayaan itu tetapi hadith-hadith itu semuanya TIDAK SOHEH BELAKA.
Diantara hadith-hadith yang dijadikan hujah mengenai
kejadian tersebut ialah :
1- Al-Hafidz Abu Bakar al-Qadhi meriwayatkan daripada
al-Hasan, katanya :
Maksudnya : "(Nabi s.a.w.) dan Abu Bakar pergi ke gua
(Thur) lalu beliau berdua masuk ke dalamnya. Maka datanglah Labah-Labah lalu
membuat sarang di atas pintu gua. Orang-orang Quraisy yang datang mencari /
memburu Nabi s.a.w. tetapi apabila mereka melihat pintu gua yang telah dibuat
sarang oleh Labah-Labah, lalu mereka berkata : "Gua ini tidak di masuki
oleh sesiapa." Adalah Nabi s.a.w. sedang bangun bersolat dan Abu Bakar
berjaga-jaga. Maka berkatalah Abu Bakar r.a. kepada Nabi s.a.w. : "Saya
menebus anda dengan bapa dan ibu saya ! kaum anda itu mengejar anda! Demi ALLAH
saya menangis bukan kerana kuatirkan keselamatan diri saya tetapi kerana takut
melihat sesuatu yang tidak diingini berlaku ke atas Rasulullah s.a.w."
Maka Rasulullah s.a.w bersabda : "Janganlah engkau berduka cita,
sesungguhnya ALLAH bersama-sama kita."
*** Hadith ini Dhoief (Lemah). Di dalam sanadnya (Rangkai
nama periwayat Hadith) terdapat Bassyar bin Musa. Ia seorang yang Dhoief.
(Musnad Abu Bakar (Q91/1-2), Silsilah al-Ahadith as-Sohehah 3/1129/260,
al-Mizan 1/1180/310-311.)
2. Ad-Dailami meriwayatkan daripada Abu Hurairah, daripada
Abu Bakar r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda :
Maksudnya : "ALLAH telah memberikan ganjaran kepada
Labah-Labah yang telah melindungi kami kerana ia telah membuat sarang ke atas
aku dan ke atas engkau wahai Abu Bakar, di dalam gua sehingga orang-orang
musyrikin tidak melihat kita dan tidak sampai kepada kita."
*** Hadith ini Mungkar kerana Abdullah bin Musa as-Salami
yang terdapat di dalam sanadnya seorang yang Dhoief (Lemah) dan gurunya seorang
yang Majhul (Tidak dikenali). (Silsilah al-Ahadith ad-Dhoiefah wa al-Maudhu'ah
3/1189)
3. Ahmad Abdul Razaq dan at-Tobrani meriwayatkan daripada
Ibn 'Abbas mengenai firman ALLAH :
Maksudnya : "Dan ingatlah tatkala orang-orang Kafir
(Quraisy) memikirkan daya upaya (membuat rancangan) untuk menangkap mu dan
memenjarakan mu atau membunuh mu." Kata Ibn 'Abbas : "Pada suatu
malam, Kafir Quraisy bermesyuarat di Mekah. Sebahagian mereka berkata :
"Apabila datang waktu pagi kamu tangkap dan tambat Muhammad dengan tali.
Kata sebahagian yang lain : "Bunuhlah dia !" Kata sebahagian yang
lain lagi : "Usirlah dia !" Rancangan Quraisy ini diberitahu oleh
ALLAH kepada Nabinya. Ali lalu tidur di tempat tidur Nabi s.a.w. pada malam
itu. Sedangkan Nabi s.a.w. keluar menuju ke gua. Orang-orang Musyrikin bermalam
menjaga Ali yang mereka sangka Nabi s,a,w. Apabila tiba waktu pagi mereka
menyerbu kepadanya, apabila mereka melihat Ali, maka ALLAH menolak rancangan
jahat mereka. mereka berkata :"Dimana sahabatmu ?" Ali menjawab :
"Aku tidak tahu" lalu mereka menjejaki kesannya. Apabila mereka
sampai ke bukit, mereka ditimpakan keraguan / kebingungan. Mereka naik ke bukit
dan mereka melalui gu, (tampat Rasulullah s.a.w. bersembunyi) lalu mereka
melihat sarang Labah-Labah di pintu gua, lalu mereka berkata : "Jika
Muhammad masuk dalam gua ini masakan ada sarang Labah-Labah di pintunya. Maka
Rasulullah s.a.w. tinggal 3 malam di dalam gua itu."
*** Hadith ini Dhoieg (Lemah). di dalam sanadnya terdapat
seorang yang bernama Uthman al-Juziri seorang yang lemah. (Ahmad dalam
al-Musnad (3251), Abdul Razaq di dalam al-Musnaf (5/389) at-Tobrani di dalam
al-Mu'jam al-Kabir (11/407/12155), Silsilah al-Ahadith ad-Dhoiefah wa
al-Maudhu'ah 3/264-3261.)
4. Ibn Sa'ad al-Mukhlish, al-Bazzar, at-Tobrani, al-'Aqili,
as-Syarif Abu Ali al-Hasyimi, Abu Nu'im, al-Baihaqi meriwayatkan daripada Abu
Mus'ab al-Makki katanya :
Maksudnya : "Pada malam di gua, ALLAH memerintahkan
sebatang pokok, lalu dia keluar di depan muka Nabi s.a.w. melindunginya dan
ALLAH ta'ala mengutuskan Labah-Labah membuat sarang diantara kedua-duanya (Nabi
dan Abu Bakar) lalu melindungi muka Nabi s.a..w dan ALLAH memerintahkan dua
ekor burung merpati liar, lalu keduanya datang terbang dan hinggap diantara
Labah-Labah dan pokok tadi. Pemuda-pemuda Quraisy datang, tiap-tiap suku
seorang lelaki bersama-sama dengan tongkat mereka yang kecil dan yang besar,
sehingga apabila berada 50 hasta dari Nabi s.a.w. Maka penunjuk jalan mereka,
iaitu Suraqah bin Malik berkata : "lihatlah batu ini, kemudian aku tidak
mengetahui dimana Rasulullah s.a.w meletakkan kakinya." Lalu pemuda-pemuda
itu berkata : "Engkau tidak memerhatikan kesannya semenjak semalam
sehingga apabila pagi engkau berkata : "lihatlah dalam gua !! Kaum itu
mendatangi sehingga apabila mereka berada pada jarak 50 hasta maka orang yang
mula-mula melihat ke gua, tiba-tiba ia nampak burung merpati lalu iapun pulang.
Mereka bertanya : "Apakah yang menolakmu untuk melihat ke dalam gua
?" pemuda itu menjawab : "Aku melihat 2 ekor Merpati liar di mulut
gua. Maka tahulah aku bahawa tiada seorangpun di dalam gua itu."
Nabi mendengar percakapan itu dan tahulah beliau bahawa
ALLAH telah melindungi beliau berdua dengan 2 ekor burung Merpati itu. Lalu
beliau mendoakan keselamatan ke atas 2 ekor burung Merpati tersebut dan ALLAH
telah memelihara/menjaga kedua-duanya di tanah Haram lalu kedua-duanya
membebaskan semua burung yang engkau lihat."
*** Hadith ini Mungkar seperti yang dikatakan oleh as-Syeikh
Muhammad Nasiruddin al-Albani. (Ibn Sa'ad 1/228/229, al-Mukhlish dalam
al-Fawa-id al-Muntaqaat 17/13/1-2, al-Bazzar dalam Musnadnya 2/299/1741,
at-Tobrani dalam al-Kabir 20/443/1082, al-'Aqili 346…… Silsilah al-Ahadith
ad-Dhoiefah wa al-Maudhu'ah 3/1128)
Sesungguhnya tidak ada sebuah Hadithpun yang Soheh yang
menguatkan Hadith-Hadith tersebut di atas. Malahan Hadith-Hadith tersebut
berlawanan dengan hakikat sebenar yang dinyatakan oleh ALLAH di dalam al-Quran
:
Firman ALAH s.w.t. :
Maksudnya : "Jikalau kamu tidak menolongnya (Muhammad),
maka sesungguhnya ALLAH telah menolongnya. Iaitulah ketika orang-orang Kafir
(Musyrikin Mekah) mengusirnya (dari Mekah) sedangkan dia salah seorang dari dua
orang ketika kedua-duanya berada di dalam gua, diwaktu dia (Nabi s.a.w.)
berkata kepada temannya : "Janganlah engkau berduka-cita, sesungguhnya
ALLAH beserta kita." Maka ALLAH menurunkan ketenangan kepada (Muhammad)
dan membantu dengan tentera yang kamu tidak melihatnya." (Al-Quran
al-Karim, surah at-Taubah ayat 40)
Ayat ini menunjukkan dengan jelas bahawa ALLAH memberikan
pertolongan kepada Nabi dengan sakinah (ketenangan) dan dengan tentera-tentera
yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar, iaitulah para Malaikat, bukan
dengan Labah-Labah membuat sarang, bukan dengan dua ekor burung Merpati dan
sebagainya. Oleh kerana itulah al-Baghawi berkata di dalam tafsirnya :
Maksudnya : "Mereka ialah para Malaikat yang turun
untuk memalingkan muka dan penglihatan orang Kafir dari melihat Nabi
s.a.w."
Dalam sebahagian hadith ada yang memperkuatkan pengertian
ini. Abu Naim mentakhrijkan daripada Asma' binti Abu Bakar as-Siddiq r.a.,
katanya :
Maksdunya : "Bahawasanya Abu Bakar melihat seorang
lelaki menuju ke gua, lalu beliau berkata : "Ya Rasulullah ! dia sedang
melihat kita." Rasulullah s.a.w. bersabda : "Tidak ! Sesungguhnya
para Malaikat melindunginya sekarang ini dengan sayap-sayapnya." Tidak
lama kemudian lelaki itu duduk kencing menghadap kepada mereka berdua. Maka
Rasulullah s.a.w. bersabda : "Wahai Abu Bakar ! Jika dia melihat, tentulah
dia tidak melakukan perkara ini."
*** Hadith ini Sanadnya Hasan (Baik) (Silsilah al-Ahadith
ad-Dhoiefah wa al-Maudhu'ah 3/261-264)
Dengan keterangan ini jelaslah kiranya kepercayaan bahawa
Nabi s.a.w. dilindungi oleh Labah-Labah dengan sarangnya dan dua ekor burung
Merpati yang bersarang di mulut gua Thur itu tidak benar. Oleh kerana itu ianya
tidak lebih dari satu Khurafat belaka.
Wallahu a'lam bis Sowab.
sumber : Di Sini
No comments:
Post a Comment